Monday, October 24, 2005

JIWA 'ABID, AKHLAK ISLAMI
(rentetan jiwa daie, otak fiqh)
Alhamdulillah, Ramadhan Kareem datang lagi. Anda berasa sangat gembira kerana sekali lagi Allah memberi peluang kepada Anda untuk melalui taman tarbiyah Ramadhan. Setiap detik dalam Ramadhan ada barakahnya kepada mereka yang mencari-cari dengan hati yang ikhlas.
Anda bersemangat bangun untuk sahur, lalu boleh bertahajjud, boleh ke masjid untuk Solat Subuh berjemaah. Usai itu, boleh memulakan kehidupan lebih awal berbanding orang lain. Siang Anda urusannya seperti biasa, cuma tahan lapar dan dahaga. Hati lebih terjaga, pandangan dan pendengaran pun kena puasa juga. Lalu, tibalah waktu berbuka, didahului doa, kerana mustajab berdoa sebelum berbuka, insya-Allah. Tamar pembuka selera. Anda bersama teman makan bersama merapat ukhuwah. Solat maghrib dilaksana segera, kerana kaki perlu melangkah segera ke masjid ataupun musollah. Solat Isyak dan Solat Tarawikh berjemaah banyak ganjaran bagi yang menunaikannya.
Lalu, Anda membersihkan diri, bersugi, berwudhu' lantas mebuka langkah ke masjid. Di sepanjang perjalanan lidah dan hati Anda terus berzikir, mengingati Allah. Ditakdirkan Allah, Anda bertemu dengan satu keluarga, seaqidah dengan Anda. Sedang berada dalam kesulitan. Rosak keretanya, ada orang lain yang ingin membantu mereka tetapi dia kurang upaya. Anda melihat jam tangan, sudah hampir sangat masuk waktu Isyak. Keluarga Muslim itu dengan wajah penuh harap tangan dihulurkan. Anda dalam dilema, nanti lewat ketinggalan tarawikh 20 rakaat, baca 1 juzu' penuh Al Quran.
Anda terus membuka langkah. Menuju ke masjid. Pahala Solat SUNAT tarawikh perlu dikejar. Mereka yang ditinggalkan terkebil. Kerisauan.
Dikisahkan Saidina Ali R.A bergegas untuk ke masjid untuk turut serta solat fardhu berjemaah. Dalam perjalanan, ada seorang tua juga sedang menuju ke masjid. Langkahnya amat perlahan lantaran usia memakan kudratnya. Saidina Ali gelisah, ingin dipintas sahaja orang tua itu, tetapi Islam mengajarkan akhlak, jangan memintas jalan orang yang lebih tua. Lalu, dalam kegelisahan takut lewat solat FARDHU berjemaah, Saidina Ali terus menjaga akhlaknya, jalan perlahan2 tidak memintas orang tua tersebut. Apabila tiba di masjid, Saidina Ali segera masuk ke dalam masjid untuk menyertai jemaah. Kelihatan jemaah sahabat lain masih duduk. Mereka berkata, "Kami tidak boleh bangun, terasa sesuatu yang menahan kami daripada bangun untuk meneruskan solat." Lalu, apabila Saidina Ali datang, baru lah solat jemaah dapat dimulakan. Ali tidak ketinggalan solat fardhu secara berjemaah.
Lihatlah, Islam tidak pernah memberikan kita 2 pilihan yang menyebabkan kita menganiaya salah satu pilihan yang lain. Pasti bagi setiap urusan kita, ada yang lebih utama. Dan Allah lebih adil, dia akan membantu menguruskan urusan kita yang lagi satu itu.
Wallahua'lam. Ikhwah akhawat sekalian. Kisah benar untuk teladan. Jiwa 'abid, tak violate akhlak islami.

** penulis **Ummu Insyirah  ** jam **7:00 PM

************************

Saturday, October 15, 2005


Apabila hati berbicara..thariq lal qulub...


'Wahai ummi n abi, permulaan jalan ini mudah, kemudian datanglah peringkat duka cita. Permulaannya dengan mengorbankan kegembiraan, pertengahannya mengorbankan nyawa..sanggupkah umi n abi kehilangan wafa' kerana ISLAM?'


'walaupun wafa' bintun...bukan mustahil wafa' menjadi seperti yg diimpikan saidina umar..(...tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah B. Al Jarrah, Muaz Bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah, ...lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah ALLAH.)



umi n abi...sesungguhnya agama ini kukuh, maka bimbinglah org lain kedalamnya dgn lembut... (macam belai wafa'..:))sesungguhnya kuda yg terus menerus di cambuk, ia tidak akan sampai kepada tujuan dan ia sendiri akan mati...

** penulis **WANITA ISMA  ** jam **2:36 PM

************************

Monday, October 10, 2005

'Allah telah menciptakan kamu dari diri yang satu ( ADAM) dan Allah menciptakan pasangannya ( HAWA) dari dirinya. Dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang ramai..' ( AN-NISA : 1 )


Sunyi malam membuatkan hati Nitrah semakin gelisah. Dia termenung di jendela biliknya. Angin lembut yang masuk melalui jendela biliknya terasa dingin sekali. Sesekali Nitrah memeluk tubuhnya dengan kedua-dua belah tangannya. Walau Nitrah tahu cuaca malam ini sejuk, dia tetap tercegat di hadapan jendela biliknya. Menikmati malam yang penuh ketenangan. Namun..hatinya teringat kembali peristiwa pagi semalam.

'Assalamualaikum..


' Waalaikumusslam..boleh saya tahu siapa yang bercakap?
Tanya Nitrah ingin tahu.


' Saya Marwan. Saudara Mak Cik Salmah'. Beritahu lelaki itu. Nitrah terkejut. Marwan, lelaki yang telah diperkenalkan oleh Mak cik Salmah kepadaku dua bulan yang lalu. Menurut ibu, Marwan ingin memperisterikan aku. Itulah hasratnya yang telah dia khabarkan kepada Mak Cik Salmah. Aku tidak menyangka jemputan Mak Cik Salmah ke rumahnya dua bulan yang lalu bertujuan untuk memperkenalkan aku dengan Marwan. Lidahku kelu dengan tiba-tiba. Hari ini Marwan sudah berani menelefonku.

'Nitrah..maafkan saya kalau saya mengganggu awak. Saya rasa awak sudah tahu apa tujuan saya menelefon awak ni. Saya inginkan kepastian daripada awak sendiri.'luah Marwan.


Nitrah mula mengatur ayat untuk bercakap dengan Marwan.

'Saya tidak boleh buat keputusan sekarang. Saya bukan macam perempuan lain. Itu awak kena faham'. Balas Nitrah dengan nada suara yang agak tersekat.

'Maksud awak, keputusan awak nak kahwin ni kena tanya murabbi awak dulu. Saya faham. Kakak angkat awak telah menjelaskan kepada saya. Saya rasa itu tidak menjadi masalah. Saya ikhlas nak memperisterikan awak. Semua yang berlaku dalam diri awak saya mampu untuk menerimanya'. Jelas Marwan dengan penuh harapan.


Nitrah tergamam seketika. Hatinya tiba-tiba berdebar-debar.

' Saya harap awak beri masa kepada saya. Saya tidak boleh buat keputusan. Saya buntu sekarang'.

'Baiklah. Namun, saya mengharapkan suatu yang terbaik daripada awak. Assalamualaikum..

' Waalaikumussalam..', balasku lemah.

Perasaan Nitrah semakin tidak tentu arah. Dia teringat kata-kata Marwan. Hatinya tiba-tiba terdetik dan merasakan suatu perasaan yang luar biasa. Adakah aku??? Ya Allah..betulkah keputusan yang akan aku buat ini. Aku terus mencapai telefon bimbitku yang kuletakkan di atas meja.

'Kak Azilah, ada hal mustahak saya nak bincang. Boleh kita jumpa', mesej yang telah kuhantar kepada Kak Azilah terus dibalasnya.

'Insya Allah, malam ni akak free. Datanglah rumah akak',

Hatiku semakin berdebar ketika bertemu dengan Kak Azilah. Kak Azilah sekadar tersenyum melihat gelagatku. Dia memandang wajahku penuh bermakna. Wajahnya tidak putus-putus tersenyum Adakah dia sudah tahu segalanya? Hatiku tertanya-tanya. Kak Azilah duduk di sebelahku. Dia memegang tanganku lembut.

'Ada apa yang nak bincang dengan akak?' tanya Kak Azilah sambil menggenggam erat tanganku.

Lidahku tiba-tiba kelu. Aku tertunduk. Aku cuba bina kekuatan.

'Akak, bolehkah kalau kita kahwin dengan lelaki yang bukan satu fikrah dengan kita, tapi dia faham apa yang kita buat selama ini', tanya Nitrah dengan nada yang bersahaja.

'Boleh tu boleh. Tapi sebaiknya jika kita nak memilih pasangan, kita perlu pilih yang satu fikrah dengan kita. Sebab apa? Sebab dia lebih memahami diri kita. Dia lebih tahu matlamat hidup kita. Kalau dia bukan sefikrah dengan kita, sejauh mana dia mampu menerima keadaan diri kita, Kerja-kerja yang kita lakukan selama ini. Cakap memang senang Nitrah. Dia boleh cakap dia mampu menerima keadaan Nitrah, tapi sejauh mana?

Aku diam seketika dengan jawapan Kak Azilah. Namun hatiku kini semakin berat untuk menerima Marwan. Aku pasti jika itu yang Allah berikan kepadaku, itulah lelaki yang terbaik untuk aku.

'Tapi, saya yakin akak dengan jawapan dia, dengan kesungguhan dia. Dia benar-benar ikhlas mahu menerima saya dan juga penerusan tarbiyah saya. Dia juga mengharapkan ada orang yang dapat mentarbiyah dia. Kalau saya tak kahwin sekarang bila lagi akak?' jawabku penuh yakin.

Kak Azilah memandang aku dengan satu pandangan yang begitu tajam. Aku tidak pasti apakah yang ada di kotak fikiran kak Azilah. Adakah jawapan aku itu telah mengecewakan dia? Aku diam dan tunduk ke lantai.

'Nitrah, akak nak tanya seikhlas mungkin dari dalam hati Nitrah sendiri. Nitrah dah bersedia nak mendirikan rumahtangga, Nitrah bersedia nak menerima lelaki tu dalam hidup Nitrah walaupun bukan satu fikrah dengan kita', tanya Kak Azilah sambil memegang bahuku.

Aku mengangguk tanda setuju. Kak Azilah tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia juga mengangguk. Tapi jelas di wajahnya ada raut kekecewaan dengan keputusan yang kubuat. Tapi inilah keyakinanku dengan keputusan yang telah kubuat.

Perjalanan majlis pertunanganku dengan Marwan berjalan lancar. Seminggu lagi majlis perkahwinan kami akan dilangsungkan. Hanya seminggu kami bertunang. Marwan tidak mahu kami bertunang terlalu lama. Baginya, kalau boleh majlis perkahwinan kami cepat-cepat dilangsungkan.

'Akak datang ye majlis perkahwinan saya nanti', jemput Nitrah dengan penuh kegembiraan.

'Insya Allah. Jika tidak ada apa-apa kami semua akan datang. Semoga semuanya selamat ye', balas Kak Azilah.

Majlis perkahwinanku sungguh meriah. Ramai sahabat-sahabatku yang datang. Ini sudah cukup membuatkan aku rasa restu mereka dengan perkahwinanku. Aku tidak dapat menahan sebak apabila melihat Kak Azilah. Dia menghampiriku dan memelukku.

' Nitrah, tahniah. Ingat ye. Nitrah sekarang sudah menjadi isteri orang. Banyak-banyak berdoa moga Allah permudahkan perjalanan tarbiyah Nitrah seterusnya. Jangan menangis. Tak elok menangis di hari yang baik ni', nasihat Kak Azilah membuatkan aku terus menangis. Dia mengelap air mataku dan terus berlalu pergi.

Kini sudah hampir dua bulan perkahwinanku dengan Marwan. Dalam tempoh itu juga aku tidak bertemu dengan Kak Azilah dan sahabat-sahabatku. Rinduku pada mereka terlalu mendalam. Malam itu, aku seperti mahu menangis mendengar kata-kata Marwan.

'Tak payahlah pergi program tu. Duduk je berehat kat rumah. Awak tu bukan sihat sangat. Kalau awak nak, abang boleh belikan buku-buku agama untuk awak baca. Sama juga kalau tak pergi programpun. Dapat juga ilmu dengan baca buku tu”, kata Marwan lalu mencapai kunci keretanya. Tinggallah aku keseorangan di rumah. Tiba-tiba wajah-wajah sahabat-sahabatku terbayang di pandangan mata. Kak Idah, Nusaibah, Alia, Mala, Ju dan Ziha yang banyak membantu aku. Hubungan ukhuwwah yang dulu kini aku rasakan terlalu jauh. Malam itu Kak Azilah telefon.

'Assalamualaikum..Apa khabar?

'Waalaikumussalam..Sihat. Akak sihat? Rindunya saya pada akak dan sahabat-sahabat yang lain'. Balasku.

'Ye ke rindu. Lama tak dengar cerita. Ingatkan dah lupa pada kami. Program kitapun dah lama tak datang', kata-kata Kak Azilah membuatkan aku terasa. Terasa seolah-olah aku tidak sensitif dengan apa yang berlaku pada aku sekarang. Pentarbiyahan aku selama ini terhenti begitu sahaja. Dek kerana sebuah perkahwinan. Adakah perkahwinan aku ini penyebab penghalang untuk aku meneruskan tarbiyah? Ya Allah, silap akukah ya Allah.

'Rindu dan kasih saya tak pernah hilang pada akak dan sahabat-sahabat. Macam mana saya nak cakap dengan akak ye. Saya malu dengan akak dan diri saya sendiri', jawabku dalam tangisan.

'Nitrah, sabar. Cuba Nitrah ceritakan pada akak. Apa yang membuatkan Nitrah rasa malu pada akak dan diri Nitrah sendiri'. Pujuk Kak Azilah.

'Betul cakap akak dulu. Kita kena pilih lelaki yang sama fikrah dengan kita. Sekarang baru saya sedar. Saya silap membuat keputusan menyebabkan tarbiyah saya terbantut dan terhalang. Saya rasa kosong sekarang akak. Saya tak kuat akak. Saya lebih banyak mengalah dengan Marwan,'beritahuku dan terus menangis.

'Nitrah, Jangan salahkan sesuatu yang telah berlaku. Ini dah jodoh awak. Tapi, dalam hal tarbiyah ni awak kena bijak. Nitrah perlu banyak berbincang dengan suami. Banyakkan doa kepada Allah moga Allah tunjukkan jalan. Berikan keyakinan kepada Marwan bahawa tarbiyah ini perlu diteruskan. Akak doakan moga Allah mudahkan Nitrah', pesan kak Azilah membuatkan hatiku bertambah hiba.

Aku termenung di meja makan. Air sejuk yang kutuangkan ke dalam gelas tidak mampu aku minum. Aku teringat sahabat-sahabatku dan Kak Azilah. Hari ini mereka dan sahabat-sahabatku yang lain berrehlah di Taman Tasik Permaisuri. Aku minta keizinan dari Marwan untuk menyertai mereka. Namun, Marwan tetap tidak benarkan aku pergi. Katanya, ibu dan bapa mertuaku akan datang dari kampung. Aku menangis lagi. Menangis dengan keadaan yang berlaku kepada diriku. Aku rindu gelak tawa dan tangisan sahabat-sahabatku. Aku rindu semua itu. Aku juga tahu,sudah pasti mereka juga merindui aku. Namun, aku sedikitpun tidak menyangka keadaan ini akan berlaku dalam hidupku dari awal perkahwinan sehinggalah aku kini mengandung tiga bulan.

'Abang, esok saya ada program kat rumah Kak Azilah. Saya nak minta izin abang untuk pergi ke sana?' kataku dengan suara yang lembut sekali. Marwan memandang aku dengan pandangan yang cukup tajam.

' Tak payahlah. Awak tu kan mengandung. Tak kan mengandung pun nak pergi juga. Apa-apa yang berlaku nanti abang juga yang susah. Dahlah awak tu alah teruk. Berehat je lah kat rumah”, balas Marwan. Aku terus menangis. Esakku kali ini lebih kuat. Aku sedih dengan jawapan Marwan. Ternyata sehingga sekarang dia masih tidak mampu memahami keadaan diriku. Matlamat hidupku. Marwan menjadi serba salah apabila melihat aku terus menangis. Dia memeluk bahuku. Aku menepis dan berlalu pergi. Marwan mengekoriku dari belakang.

'Kenapa ni? Menangis macam tu sekali. Tak baik orang mengandung ni banyak menangis. Nanti anak tu pun menangis macam ibu dia juga. Siapa yang susah, abang juga yang susah”, kata Marwan kononnya mahu membuat lawak denganku. Namun tangisanku tak mampu aku hentikan. Dia mula gelabah dan cuba memelukku. Kali ini lebih kuat dan lebih erat. Aku tidak mampu melepaskannya.

'Jangan buat macam ni?' pujuk Marwan.

'Abang, tolonglah faham keadaan diri Nitrah ni. Mana janji abang dulu. Abang…Nitrah ada sahabat-sahabat yang Nitrah rindui. Nitrah rindu program-program seperti Nitrah ikuti dulu sebelum berkahwin dengan abang. Tapi abang tidak pernah memberi peluang untuk Nitrah bersama-sama dengan mereka. Nitrah sedih. Nitrah kecewa dengan abang', luah Nitrah sambil memandang wajah Marwan.

Marwan tidak mampu berkata apa-apa. Pelukannya dilepaskan.

'Buku saja tidak mampu mengisi kekosongan hati Nitrah ni. Nitrah tahu Nitrah isteri abang sekarang. Nitrah perlu taat kepada abang. Tapi, abang juga sebagai suami perlu memahami hati dan perasaan Nitrah. Dulu sudah Nitrah katakan pada abang, Nitrah bukan macam perempuan lain. Nitrah ada tanggungjawab lain selain tanggungjawab Nitrah pada abang. Mengandung bukan penghalang untuk Nitrah tidak melakukan kerja-kerja seperti dulu. Nitrah harap abang faham keadaan Nitrah”, Kata Nitrah untuk cuba memahamkan hati dan diri Marwan.

Marwan menghampiri Nitrah. Dia menggenggam tangan Nitrah erat.

' Baiklah, kalau itu yang Nitrah mahu. Terserahlah. Abang izinkan Nitrah pergi esok', hanya itu kata-kata Marwan dan dia melepaskan genggaman tangannya dan berlalu pergi. Nitrah menarik nafas panjang. Rasa kepuasan ada dalam hatinya walaupun dia merasakan jawapan Marwan tadi dalam nada kekecewaan. Kini, Nitrah hanya mampu berdoa agar permulaan yang sedikit ini akan memberikan satu kesedaran kepada Marwan untuk memahami keadaan dan matlamat hidupnya. Hidup dan matinya untuk Islam.

** penulis **WANITA ISMA  ** jam **4:56 AM

************************

Wednesday, October 05, 2005

Assalamualaikum WBT.

Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras.

Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?

Kata Hasan al-Banna, "apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?" Kata mereka, solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat islam adalah wajib.

Lantas Hasan al-Banna menjawab, "apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat?! Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian".

Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Da'ie Otak Fiqh. Bagi kita yang berperanan sebagai Da'ie, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi SAW untuk para Da'ie. Akhlak itu terpampang di dalam pelbagai peristiwa di zaman Nabi SAW dan hari ini, ia boleh disebut sebagai akhlak "Seek to Understand, Then to be Understood".

Kita perlu belajar untuk memahami mad'u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa. Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwanya sebagai seorang Da'ie tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR. Ini bukannya masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadith kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadith.

Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka 'bosan' dengan pendekatan para ustaz yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan 'hukumnya ialah..."

Seorang Daie yang berjiwa Daie akan belajar untuk memahami mad'u yang diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad'unya memahami dakwah yang dia bawa. Mari kita semua bertafakur di KLCC Suria or One Utama Shopping Complex selama 30 minit dan ukurlah berapa jarak manusia di situ dengan mimbar-mimbar masjid dan 'usrah' kita. Pernahkah kita menilai sudah berapa jauhkah masyarakat kita berubah dan sudah berapa jauhkan kita mengubah pendekatan dakwah kita untuk mengejar perubahan masyarakat?

Saya selalu terkenang dialog saya dengan seorang anak gadis kita yang telah 10 tahun membesar di England. Semenjak usianya 10 tahun dan kini telah 20, beliau dibesarkan di Boarding School, jauh dari alam Melayu malah Islam barangkali. Dia mengajukan soalan kepada saya, "do you believe in wearing scarf for Muslim girl? I don't believe in wearing scarf. If God doesn't want us to show our hair, then He will create us hairless!"

Soalannya amat provokatif. Dia juga bertanya soal kenapa mesti solat, kenapa tak boleh bela anjing di rumah dan sebagainya. Seandainya saya mengambil pendekatan jiwa Fiqh otak Da'ie, mungkin saya akan menjelaskan hukum perempuan memakai tudung, tujuannya menurut al-Quran, ayat-ayat dari surah al-Ahzab dan an-Noor dan 1001 penjelasan yang disambut dengan menguap gadis tadi bersama abangnya yang senasib. Akhirnya saya akan kagum dengan diri sendiri terhadap betapa banyakkan dalil yang berjaya saya ingat dan bentangkan dengan fasih!

Tetapi saya cuba membawa gadis tersebut ke persoalan pokok. Saya sebutkan kepada gadis tadi, "semua soalan anda tadi adalah persoalan kelapan dan kesembilan kita. Ada persoalan awal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu".

"Oh begitu. Baik, apa persoalan utama awak?", tanya gadis tadi.

"Menyelesaikan persoalan TUJUAN HIDUP!" jawab saya.

"Penting sangatkah nak tahu tentang tujuan hidup?", tanyanya lagi.

"Cuba awak bayangkan, kita adakan permainan bola sepak, tetapi di padang bola tiada tiang gol! Atau awak main golf tetapi tidak tahu di mana lubangnya. Apa rasanya kalau awak terlibat dalam permainan seperti itu?", saya menguji.

"Silly game.. mengarut!", ujarnya sambil tersengih.

"Well, kita mungkin ketawakan mereka yang main bola atau golf begitu, tetapi sebenarnya kita sedang ketawakan ramai manusia yang hidupnya tiada tiang gol dan tiada lubang golf. Kalau kita tak tahu tujuan hidup kita yang sebenar, bagaimana kita nak fokus dan membuat prioriti? Saya yakin saudari boleh setuju bahawa kegagalan untuk fokus dan membuat prioriti, pasti mengundang kegagalan. Betul tak?", saya meneruskan perbualan.

"I can agree on that, jadi soalannya sekarang ialah, apa tujuan hidup awak?", beliau bertanya lagi.

"Hmm, awak rasa, saya ada ke jawapannya? Awak ada jawapannya? Apa yang awak nak capai dalam hidup awak?", saya pula memberikan soalan bertubi-tubi saya.

"Saya nak berjaya dalam kerjaya dengan pendapatan millions per year", katanya dengan yakin.

"Bagi kita yang belum dapat pendapatan begitu, mungkin kita sangka itu tujuan hidup kita. Tapi bagi yang dah dapat, macam jutawan-jutawan dunia yang kita kenal, ketika mereka sampai ke puncak yang didaki, rupa-rupanya jiwa mereka masih kosong dan mereka masih terus bertanya, apakah untuk ini aku hidup? Akhirnya ramai di kalangan mereka yang bunuh diri atau sekurang-kurangnya gagal dalam rumahtangga. Awak rasa itu kejayaan ke?", saya bertanya kepadanya lagi.

"Hmm...", sepi tanpa jawapan...

"Saya rasa kita sama-sama tak ada jawapan sebab TUJUAN HIDUP kita telah ada sebelum kita lahir. Jika kita tanya lampu ni kenapa dia diciptakan, andai dia boleh menjawab, mungkin dia tak tahu kenapa dia berada di sini. Logiknya kita kena tanya kilang yang membuat lampu itu tadi. Dan kalau kita tanya ke kilang, mereka akan memberikan koleksi soalan dan jawapan di dalam sebuah KITAB bernama Instruction Manual. Begitulah juga dengan manusia. Jika mahu kepada jawapan, kenalah tanya kepada Tuhan yang menciptakan manusia iaitu Allah. Dan Allah telah memberikan kepada kita koleksi soalan dan jawapan di dalam Instruction Manual-Nya yang bernama..."

"Al-Quran! What does the Quran say about our PURPOSE OF LIFE?", gadis tersebut mengacukan soalannya.

"DAN tidaklah Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu. Adz-Dzariyat 56". Jawabku.

Lantas aku mengambil peluang untuk menjelaskan secara ringkas kepada beliau konsep ibadah dalam Islam. Bahawa selain solat dan ibadah khusus yang lain, apa sahaja pekerjaan yang kita lakukan jika memenuhi kriteria Islam, maka ia jadi ibadah. Dan akhirnya aku membuat kesimpulan berikut:

"Andainya saudari boleh menerima hakikat yang kita perlukan Tuhan dalam hidup ini, maka barulah saya boleh menjawab soalan kenapa kita kena sembahyang. Kita perlu sembahyang kerana kita perlukan Tuhan dalam hidup ini. Dan jika saudari boleh setuju dengan kewajipan sembahyang, maka barulah saya boleh terangkan kenapa saudari kena pakai tudung. Jika kita mengadap Yang Di Pertuan Agung pun ada kod berpakaian, apatah lagi nak mengadap Allah di dalam sembahyang dan di luar sembahyang, tentunya kita kena bertudung kerana itu kehendak Dia. Dan jika awak setuju sampai ke situ, saya boleh jelaskan kenapa Islam tak benarkan kita bela anjing. Islam cuma mengajar, andai dijilat anjing, samaklah dengan air dan tanah. Tetapi Islam tidak pernah mengajar kita supaya membenci anjing dan memukulnya. Itu semua soal adat sahaja!"

Alhamdulillah dalam tempoh sejam pertemuan saya dengannya, itulah hasil perbincangan kami. Walaupun kesannya saya tidak pasti tetapi sekurang-kurangnya saya sudah mencuba untuk menghadapi mad'u saya dengan Jiwa Daie Otak Faqih dan tidak sebaliknya. Gadis itu ada latar belakang keluarga yang berbeza. Dia bukan seperti saya dan kehidupan saya. Kerana itulah saya mesti terlebih dahulu cuba belajar untuk memahami keadaan dia sebelum memutuskan apakah pendekatan dakwah yang patut saya ambil. Andai saya hamburkan kemarahan atas provokasi gadis tadi, tentulah perbualan kami terhenti di situ dan saya sekadar menggelengkan kepala sambil tersenyum secara sacarstic, "inilah perangai bebudak sekarang!"

Sempena kedatangan bulan Ramadhan ini, dan atas nostalgia peristiwa Hasan al-Banna itu, marilah kita bersama-sama mengutip mutiara pendakwah yang hilang iaitu "SEEK TO UNDERSTAND, THEN TO BE UNDERSTOOD".


................

Setiap titis darah yang tumpah akan menjadi saksi nanti di Akhirat...
Setiap luka yang menganga akan menjadi bukti...
Dan Setiap langkah yang engkau tapaki InsyaALLAH diridhai Illahi Rabbul Izzati
Teruslah berjuang saudaraku...
perjuangan tak pernah berakhir ..
sebelum raga meregang nyawa dan syahid menghampiri kita..
Bukan kah itu tujuan kita...

"Jika da'wah adalah nafas2 yg terhembus setiap saat...maka jagalah agar ia tetap terhirup dan kita tetap hidup karenanya...
" Jika da'wah adalah pedang-pedang yang siapa dihunuskan...maka jadilah dalang-dalang yang akan memainkannya di medan laga...
" Jika da'wah adalah jalan yg panjang..maka jgn berhenti sebelum kita temukan penghujungnya yg terang benderang... Jika da'wah adalah bunga....maka serbukkanlah rekahnya agar ia terus menebarkan wangi ke seluruh penjuru dunia..."

** penulis **WANITA ISMA  ** jam **2:41 AM

************************